Wednesday, 19 June 2013

"Kau Sorang Je Faham Aku"

Mesej yang aku terima awal Jun itu membuatkan aku tersenyum. Zaid. Zaid.

Perilakunya memang sukar difahami orang. Berbeza dengan sesetengah orang yang merancang segala butir-butir kehidupan, Zaid lebih impulsif. Selalunya, keputusan dia menyebabkan kejutan. Tiba-tiba. Tak sangka.
Justeru, ramai yang lebih selesa menutup mata. Biarkan dia.

Zaid di mata aku; dia seorang yang tabah. Kreatif. Bijak mencari jalan dan peluang. Cuma entah, mungkin dugaan hidup yang direncanakan untuknya jauh lebih besar dari jalan hidup aku. 

Sejak meningkat dewasa, aku selalu cuba memahami orang di sekeliling aku. Aku selalu mencari punca. Sebabnya apa? Kenapa jalan itu yang dipilih sedangkan ada jalan yang seakan lebih mudah?
Seperti puzzle atau soalan uji minda, aku cuba selesaikan.
Banyak juga persoalan yang terbiar tanpa jawapan. Mungkin aku akan temui jawapan itu satu hari nanti.
Ah, dunia memang penuh dengan persoalan.

Bagi aku, mereka bukan tidak mahu memahami. Seperti aku, mereka juga cuba faham. Dan mereka juga bukan tidak peduli. Mereka cuma diselubungi kabus tebal tanpa sinaran matahari yang mampu tembusi kabus itu. Dan mereka cuma kurang sesuatu; iaitu percaya.

Kerana aku percaya, barulah aku boleh memahami.


No comments:

Post a Comment