Seorang bakal ibu.
Perit tekaknya menahan loya.
Sakit pinggangnya menahan tambahan berat di perut yang semakin besar setiap bulan.
Bengkak kakinya, sakit tiada siapa tahu.
Tidur malamnya tidak seperti selalu.
Banyak pantang larang nya, usah dilanggar, pesan keluarga.
Lahirnya seorang anak.
Betapa sakitnya melahirkan, hanya seorang ibu memahami.
Bertarung dengan nyawa, tetapi hadiah yang diterima amat berharga.
Seorang anak, zuriat.
Tidak kira masa, anak menangis. Si ibu bangkit dari tidur menyusukan. Melayan keletah si kecil.
Si kecil mula merangkak, berjalan, berlari. Lidah sudah petah berbicara.
Itulah intan permata keluarga.
Si anak sudah dewasa - cantik rupanya. Bunga yang indah disunting orang. Hari ini dia seorang isteri, yang ibunya bagai tiada hak ke atasnya. Segala perlakuan harus di atas izin suami. Ya, darah dia dan ibunya masih merah yang sama, tapi dia bukan lagi milik ibunya.
Si isteri kini menjadi ibu. Perihal anaknya, dia dan suami lah yang menjadi tukang coraknya. Neneknya tidak boleh berkata apa-apa. Beri cadangan, nasihat sahaja.
Kerana segala dalam dunia adalah pinjaman. Kita tidak punya hak ke atas apa pun, termasuklah anak yang lahir di dalam rahim kita sendiri.
Lumrah alam.
No comments:
Post a Comment