Kita semua punya perasaan - cinta, benci, suka, namakan sahaja. Kita ada rasa, kerana kita manusia.
Ada orang kata, lebih mudah suka dari benci.
Tapi ada juga yang kata, lebih mudah benci dari suka.
Aku lebih setuju dengan yang kedua. Pada aku, benci itu lebih mudah dari suka. Sebab yang buruk lebih mudah di'tangkap' mata kasar. Perilaku buruk impaknya lebih besar dari yang baik.
Ambil sahaja contoh mudah. Jika seseorang itu pernah mencuri dan kantoi, walau hanya sekali, sampai mati hal itu akan jadi bahan umpatan. Jika berbuat baik pula, menderma (banyak) contohnya, mungkin buat beberapa ketika, akan jadi bahan bual sambil mengopi. Selang beberapa lama, khabar hilang.
Mungkin kerana sikap kita, lebih suka fokus kepada negatif.
Ah, si polan itu begitu, begini.
Ah, si polan itu begitu, begini.
Ah, sekurang-kurangnya aku tidaklah teruk macam si polan, si polan. Dia tu begitu, begini.
Aku pernah bencikan seseorang dengan darjah kebencian tertinggi.
Aku cukup tidak suka dia.
Semua yang dia buat, nampak buruk di mata aku.
Selama bertahun-tahun, aku benci dia.
Selalu, kerana sakit hati dan stress, aku cari jalan keluar.
Akhirnya, menyakitkan diri sendiri. (Hampir) memusnahkan diri sendiri.
Kerana benci - ia adalah satu rasa yang seperti racun, walaupun bukan membenci diri sendiri, racun yang dikandung hati tetap menular, merosakkan hati sendiri.
Sehingga lah suatu waktu, syukur, aku ditunjukkan cahaya.
Aku rasa aku kejam.
Sepatutnya benci itu aku cantas. Tapi aku semai.
Dan aku salahkan dia.
Tapi ternyata aku salah.
Ya, mungkin dia bersalah.
Tapi aku juga turut bersalah. Malah aku lebih besar salahnya.
Siapa yang mengajar aku kebencian?
Tiada siapa.
Siapa pernah mengajar aku kemaafan?
Ramai.
Jadi kenapa aku membenci?
Mungkin buat ketika itu, itu solusi paling mudah. Solusi terbaik - lari dari masalah.
Ternyata,
Benci itu lemas dan melemaskan.
Kasih sayang itu indah. Manis walau tidak mampu dirasa oleh lidah.
Kasih sayang itu hangat.
Hari ini aku masih cuba membuang semua sisa-sisa benci yang pernah terpahat dalam hati. Percayalah, sayang ini seribu kali lebih indah dari benci. Aku rasa lebih tenang, lebih bahagia.
Syukur, Tuhan masih sayangkan aku.
Dia beri aku ruang.
Dia tunjukkan jalan.
Dia buka mata untuk aku lihat dari sudut berbeza.
Sudut yang dahulunya sering dikaburi benci.
Semua manusia, tidak ada yang tiada cacat celanya. Ya, kadang kala, seseorang itu buat kita rasa lemas, menyampah, tapi kita tidak boleh menolak mereka dan berkata, kau ni tiada guna.
Besar harapan aku, agar kita semua boleh merasai bahagia yang aku rasa - setelah aku buang benci dari jiwa.
Notaantaraaksara : Kemaafan itu bukan sesuatu yang mudah diberi seperti tabur janji tapi ganjaran beri maaf itu tak ternilai harganya.
Notaantaraaksara 2 : Aku masih dalam proses mencuba sehabis daya memaafkan dan membuang benci terhadap orang-orang yang cukup menyakitkan aku.
No comments:
Post a Comment