Wednesday, 24 October 2012

Terima Kasih, Ibu.

Semalam, sedang aku menyusun atur kertas-kertas dan buku-buku untuk disediakan untuk dikitar semula, aku terjumpa helaian-helaian kertas A4. Merah jambu warnanya. Tertarik aku untuk melihat isi kandungannya.
Payslip milik ibu.
Dari bulan Januari hingga Disember - tahun 2003.
Sembilan tahun lepas.

Basic Salary : RM600.

Fikiran aku menerawang jauh. Apakah yang aku buat ketika itu?
2003 - bermakna aku berumur 15 tahun ketika itu.
Masih terlalu mentah.

Dengan gaji dikit itu, ibu menyara kami tujuh beradik.
Tambung mana patut dengan gaji ayah yang juga tak seberapa.
Dengan gaji dikit itu, ibu cuba tunaikan apa yang mampu.
Sehabis daya.

Untuk gaji dikit itu,
ibu perah keringat hingga titis akhir.
Untuk gaji dikit itu,
ibu gagahkan anggota diri.
Untuk gaji dikit itu,
Tebalkan muka saban hari.

Aku masih ingat pesan ibu,
"Belajar rajin-rajin. Ibu tak ada pelajaran, tak boleh kerja bagus-bagus. Jangan jadi macam ibu. Nenek, atok kamu dulu orang susah, tak mampu nak hantar ibu belajar tinggi-tinggi. Kamu jangan jadi macam ibu,"

Satu demi satu paparan dimainkan dalam kotak fikiran.

Emosi aku berjaya mainkan aku.

Terima kasih, Ibu.
Sehingga habis nafas aku pun, tak mungkin dapat aku balas jasa ibu.
Namun, aku bangga punya ibu setabah ibu.
Kental harung dunia.

Aku harap kedewasaan yang mula bertapak ini takkan mampu buat aku lupa jasa ibu.
Aku sayang amat pada kamu, ibu.

No comments:

Post a Comment